Thursday, 18 August 2016

Ali tinju persoal kenapa logo ASW di lori najis

Beralih daripada isu politik, aktivis lantang Mohd Ali Baharom tampil untuk mempertahankan Permodalan Nasional Berhad (PNB) daripada “penghinaan”.
Mohd Ali, pemimpin kumpulan Gerakan Merah, mendakwa mereka mengesan logo sebuah syarikat unit amanah agensi pengurusan dana kerajaan itu di lori pembentungan.

Ia, katanya lagi, melibatkan logo ASW – yang juga singkatan untuk Amanah Saham Wawasan 2020 yang dilancarkan pada 1996.
"Kita Gerakan Merah yang juga wakil NGO Melayu mendesak nama Amanah Saham Wawasan yang terletak di lori najis.
"Kita akan kesan syarikat ini dan minta menarik balik tulisan yang berada di lori najis," katanya pada sidang media selepas bertemu dengan wakil PNB di ibu negara hari ini.

Dalam acara itu, Ali dan sekumpulan anggota Gerakan Merah turut membawa sepanduk bertulis “Kami bantah penggunaan nama ASW di lori najis”.
Turut disertakan gambar lori berwarna putih berserta tulisan berwarna biru yang mempunyai tulisan ASW.

Bagaimanapun, menurut Ali, selepas pertemuan dengan wakil PNB, beliau mendapati logo di lori berkenaan bukan milik PNB sebaliknya sebuah syarikat swasta.

Mengulas kenapa tindakan itu dibuat, Ali berkata ia susulan aduan orang ramai kepadanya.

"PNB menolak dan beritahu ia tak ada kena mengena. Saya harap pihak bertanggungjawab supaya buang ASW kerana bagi pandangan orang Melayu, ia tak bagus.
"Harap pemilik syarikat boleh buat logo baru di atas lori najis tersebut," katanya lagi.
Skim ASW dibuka sebanyak 51 peratus untuk bumiputera Malaysia dan 49 peratus untuk bukan bumiputera.
- MK

No comments: