Friday, 19 August 2016

Bekas pegawai bank BSI Singapura dibicara Oktober



Perbicaraan kes bekas pengurus bank Switzerland, BSI cawangan Singapura akan bermula di mahkamah negara itu pada Oktober atas tuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

Tarikh perbicaraan ditetapkan bagi empat pertuduhan mulai 31 Oktober hingga 11 November, kata Jabatan Peguam Negara (AGC) Singapura dalam satu kenyataan.

ACG juga berkata Yeo Jiawei akan menghadapi dua pertuduhan baru kerana mengganggu saksi sebagai tambahan kepada dua pertuduhan iaitu memutarbelitkan perjalanan keadilan dalam perbicaraan akan datang beliau.

Yeo, yang juga menghadapi tuduhan lain termasuk pemalsuan dan pengubahan wang haram, tidak dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada bulan Mei.

Reuters melaporkan Yeo adalah salah seorang daripada lima bekas pekerja BSI yang dirujuk oleh bank pusat Singapura kepada pendakwa raya untuk kemungkinan tuduhan jenayah.

Dalam satu langkah yang belum pernah berlaku pada bulan Mei, bank pusat Singapura mengarahkan penutupan operasi BSI di bandar raya itu, manakala Switzerland memulakan prosiding jenayah terhadap bank swasta itu.

Ia merupakan salah satu tindakan keras antarabangsa yang terbesar dilakukan terhadap entiti kewangan yang berurusan dengan 1MDB.
- MK

No comments: