Friday, 19 August 2016

Bukan sekadar kibar bendera, PM jelaskan tiga tahap patriotisme

Patriotisme adalah lebih daripada sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyi lagu kebangsaan atau atau mengangkat ikrar taat setia terhadap prinsip Rukun Negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam tulisan di blognya mengenai sambutan Hari Kemerdekaan yang akan datang pada 31 Ogos, perdana menteri berkata terdapat beberapa peringkat dalam patriotisme.

Tahap pertama, katanya, adalah bersama-sama berganding bahu ke arah mencapai sebuah matlamat yang murni buat negara.

“Setiap perkara yang kita lakukan, pekerjaan kita usahakan, dengan niat untuk meningkatkan taraf hidup sesama kita boleh disifatkan sebagai semangat patriotisme,” katanya.

Tahap kedua, menurut perdana menteri, adalah usaha yang diberikan secara ikhlas untuk membantu insan-insan lain yang memerlukan.

Oleh itu, Najib berkata beliau berbangga ramai anak muda menceburi bidang sukarelawan melalui NGO-NGO bagi membantu golongan yang memerlukan.

Bagi tahap ketiga, perdana menteri menyifatkannya sebagai usaha serta pengorbanan mempertahankan keharmonian dan kedaulatan hatta pergorbanan nyawa sekalipun.

“Pengorbanan pasukan keselamatan kita yang berhadapan dengan risiko kehilangan nyawa pada setiap masa dalam melindungi negara ini adalah tergolong dalam kategori ini.

“Namun begitu, orang awam yang lain juga mempunyai tanggungjawab melindungi keharmonian masyarakat.

“Kita harus mengelakkan daripada berlakunya perselisihan, hentikan pergaduhan dan sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman fitnah yang tersebar kerana ini semua akan merosakkan keharmonian negara,” katanya.
- MK

No comments: