Sunday 21 August 2016

Edar risalah di UiTM, 3 aktivis himpunan #TangkapMO1 ditahan

Edar1
KUALA LUMPUR: Susulan himpunan #TangkapMO1 yang dirancang 27 Ogos depan, tiga mahasiswa yang sedang mengedarkan risalah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak ditahan, petang tadi.
Menurut Exco Politik Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (UM) Suhail Wan Azahar, beliau bersama rakan-rakan memohon secara baik untuk memasuki perkarangan universiti bagi memberi sedikit penerangan kepada siswa UiTM.
Penerangan itu bertujuan untuk menghimpun anak muda turun ke Dataran Merdeka nanti bagi menggesa kerajaan menangkap dan mendakwa individu yang digelar Malaysian Official 1.
“Kami hanya berucap di hadapan pintu pagar kampus memandangkan kami tidak dibenarkan masuk untuk edar risalah.
“Sekitar jam 6.50 petang, tiga rakan kami ditahan oleh pihak polis. Kami sedang tunggu diluar pagar UiTM dan sedang menunggu maklum balas mengenai keadaan mereka,” katanya.
Tiga mahasiswa yang ditangkap ialah Timbalan Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia Luqman Nul Haqim Zul Razali, Exco Dakwah Persatuan Mahasiswa Islam UM Luqman Hakim Fazli dan Timbalan Pengerusi Pro Mahasiswa UM Sabah Ashraff Nazrin.
Ketiga siswa itu dibawa ke IPD Seri Iskandar, menurut Suhail.
Sementara itu, jurucakap #TangkapMO1 Anis Syafiqah Yusof ketika dihubungi memberitahu beliau dalam perjalanan ke Padang Rengas bagi meneruskan sesi jelajah himpunan #TangkapMO1.
“Kami akan meneruskan apa yang dirancang walaupun terpaksa berdepan dengan tentangan. Kami sudah bersedia dengan semua kemungkinan,” katanya.
- FMT

No comments: