Thursday, 18 August 2016

MCA: Majoriti pengundi belum terima politik langkaui kaum

Walaupun setuju konsep parti berasas kaum sudah lapuk, pemimpin MCA hari ini mendakwa majoriti pengundi masih belum sedia menerima politik yang melangkaui kaum.
Pengerusi Biro Profesional Muda dan Pelajar Universiti MCA Eric Choo berkata beliau secara peribadi percaya parti berasas kaum masih diterima di kalangan majoriti pengundi khususnya di luar bandar.
"Saya setuju bahawa kita tidak harus mempunyai politik berasaskan kaum, tetapi saya fikir ramai pengundi yang mungkin tidak menerima model itu lagi.
"Kita belum mempunyai kematangan politik seperti itu lagi," kata Choo pada persidangan belia yang diadakan di Parlimen anjuran oleh Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS).
Choo berkata demikian ketika ditanya oleh peserta sama ada beliau merasakan parti berasaskan kaum, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang baru dilancarkan sedang dilihat sebagai ketinggalan zaman oleh generasi muda.
Anggota jawatankuasa protem BERSATU dan pengasas kumpulan belia Challenger Syed Saddiq Abdul Rahman adalah antara pembentang di CPPS ketiga itu dalam perbincangan meja bulat bertemakan 'Cabaran Mengekalkan Bakat di Malaysia'.
Ditanya lebih lanjut sama ada perlu menyokong politik dan dasar yang melampaui garis perkauman, Choo berkata pada hakikatnya parti politik mahu memenangi pilihan raya."
"Mereka (parti politik) tidak mengubah pengundi ... mereka hanya memberikan apa yang pengundi mahu," katanya menambah terdapat kekurangan parti berasaskan ideologi- di kedua-dua belah blok politik.
Choo juga bersetuju dengan pandangan bahawa ramai ahli politik yang berkuasa tidak mempunyai pandangan jauh untuk melihat di luar perjuangan agenda untuk memenangi pilihan raya akan datang.
"Terdapat berpolitik berlebihan, serangan yang berlebihan pada individu ... tidak cukup (penekanan kepada) dasar awam.
"Untuk menukar ini, apabila kita mengundi, kita perlu melihat kredibiliti calon dan bukan hanya mengundi pada garis parti," katanya.
Seorang peserta kemudian menegaskan bahawa 51 peratus daripada pengundi telah mengundi menentang parti berasaskan kaum BN pada pilihan raya umum ke-13 dan pembangkang sudah mengambil alih Putrajaya jika pilihan raya dijalankan secara bebas dan adil.
Choo bagaimanapun berkata kenyataan itu adalah tidak tepat kerana tidak ada bukti bahawa mengundi BN bermakna menolak parti berasaskan kaum.
Pada masa sama, beliau juga berkata, Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon menjadi antara pemimpin pertama BN mencadangkan perubahan di luar politik perkauman.
Cabaran bagi MCA, katanya, adalah untuk meyakinkan ahli-ahli yang lebih tua dan penyokong yang berkongsi pandangan yang sama.
- MK

No comments: