Monday 1 August 2016

PBAKM Diminta Bantu Kerajaan Tingkat Sokongan Rakyat - Video

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

BERA – Semua anggota Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) diminta memainkan peranan masing-masing membantu kerajaan mendapatkan sokongan penuh rakyat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan kepakaran dan pengalaman dimiliki bekas anggota Kemas itu mereka mempunyai keupayaan meningkatkan sokongan rakyat terhadap semua usaha yang dilaksanakan kerajaan.
“Walaupun ahli PBAKM sudah tamat perkhidmatan (dalam kerajaan) tetapi kepakaran mereka kita masih perlukan. Kerajaan sendiri menghargai peranan dimainkan (anggota) Kemas apabila kerajaan memberikan bantuan antaranya elaun sara hidup RM300 sebulan kepada bekas Kemas yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dan pencen pada usia 55 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri PBAKM dan melancarkan Kelab Wawasan Anak Muda Perintis Intelektual SeMalaysia (Waris) peringkat negeri di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata bagi tujuan itu PBAKM diminta memberikan penjelasan secara meluas kepada rakyat berikutan pada masa ini kerajaan banyak difitnah pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan cuba menjatuhkan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau turut meminta waris anggota agar memainkan peranan sama mendekati golongan muda demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. 
– BERNAMA

No comments: