Thursday 15 September 2016

Polis digesa siasat ugutan ‘tak jalan di bumi’ Ali Tinju terhadap Maria

ramkarpal
PETALING JAYA: Polis digesa segera menyiasat ugutan yang dibuat terhadap Maria Chin Abdullah oleh ketua Gerakan Merah, Mohd Ali Baharom, yang memberi amaran kepada pengerusi Bersih 2.0 itu supaya berwaspada atau “tidak akan berjalan di atas bumi”.
Ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh berkata jika benar kenyataan yang dibuat Ali, yang juga dikenali Ali Tinju, ia jelas satu kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Jenayah.
“Saya menggesa Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) memulakan siasatan ke atas kenyataan Ali Tinju secepat mungkin,” katanya.
Maria bagaimanapun memberitahu FMT beliau mahu memberikan tumpuan terhadap perhimpunan Bersih 5 yang bakal diadakan pada 19 November nanti.
Ramkarpal berkata kenyataan Ali sudah memadai bagi pihak polis menjalankan siasatan.
“Sama ada Maria mahu membuat laporan polis atau tidak bukan isu kerana polis mempunyai kuasa secukupnya memulakan siasatan walaupun tanpa laporan polis,” kata Ramkarpal kepada FMT.
Semalam, FMT memetik Ali Tinju sebagai berkata beliau tidak kisah sekiranya terpaksa masuk penjara bagi menghalang Maria, susulan pengumuman Bersih 2.0 untuk menganjurkan perhimpunan ke-5 di Kuala Lumpur pada 19 November.
“Kita akan serang hendap dia. Tengok masa. Saya tak kisah masuk penjara. 10 tahun pun tak kisah.
“Tunggu dan lihat. Dia tak akan rasa aman, walaupun pengawal peribadi 10 ke 20 orang, kita akan sebat. Dia kena ingat. Saya takut dia nanti tidak akan berjalan di atas bumi. Ini kata-kata bekas tentera,” katanya.
Beliau turut membuat ugutan lebih spesifik: “Nanti kami akan buatkan kaki dia ke atas, kepala dia ke bawah jalan.”
- FMT

No comments: