Thursday 8 September 2016

Melayu bakal presiden Singapura jika pindaan lulus

Lee-Hsien-Loong
PETALING JAYA: Presiden Singapura yang akan datang kemungkinan besar seorang berbangsa Melayu sekiranya pindaan perlembagaan seperti yang dicadangkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong menjadi kenyataan.
Lee dalam wawancara bersama media republik itu semalam mencadangkan mekanisme bagi memastikan kalangan minoriti diangkat menjadi calon bertanding jawatan presiden.
Menurutnya, sekiranya presiden tidak dilantik dari sesuatu kaum untuk beberapa penggal berturut-turut, peruntukan khas boleh digunakan bagi memastikan seseorang dari komuniti itu diangkat sebagai calon.
“Dengan cara ini, anda boleh mendapat seorang presiden Melayu atau India,” kata Lee dipetik The Straits Times hari ini.
Kali terakhir seorang presiden di kalangan Melayu menduduki jawatan itu ialah untuk penggal 1965-1970, iaitu Yusof Ishak yang wajahnya tertera di mata wang dolar Singapura, presiden pertama republik itu selepas berpisah daripada persekutuan Malaysia.
Beliau digantikan Dr Benjamin Sheares, seorang berbangsa serani, dan disusuli Devan Nair sebagai presiden ketiga. Empat presiden lain Singapura sejak itu ialah Wee Kim Wee, Ong Teng Cheong, S.R. Nathan dan kini Tony Tan Keng Yam yang akan mengakhiri jawatannya pada Ogos tahun depan.
Ketika menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan bulan lalu, Lee membayangkan pindaan perlembagaan bagi membolehkan kaum minoriti seperti Melayu dan India dilantik menjadi presiden dari semasa ke semasa.
Jawatan presiden Singapura yang sekadar simbolik dan tidak mempunyai kuasa politik seperti perdana menteri, mula dipertandingkan sejak 1993.
Lee mengakui mustahil calon dari kalangan bukan Cina boleh menang di bawah sistem pilihan raya yang diamalkan di Singapura.
Menurutnya, pindaan yang dicadangkan bukan sekadar menjadi hiasan, tetapi langkah tepat demi masa depan Singapura.
“Ia simbolisme yang amat perlu sebagai sebuah masyarakat berbilang bangsa, sebagai mewakili Singapura dan impian kita,” katanya semalam.
Kira-kira 74% rakyat Singapura terdiri daripada keturunan Cina, diikuti Melayu (13%) dan India (9%).
- FMT

No comments: