Thursday 8 September 2016

Negara tak muflis pun pada kadar hutang 103.4%, kata Rahman Dahlan

rahman-dahlan-ringgit-malaysia
PETALING JAYA : Rakyat dan parti politik tertentu digesa berhenti menyebarkan maklumat salah atau menakut-nakutkan pelbagai pihak kerana ia akan menjejaskan keyakinan pelabur dan pengguna terhadap ekonomi negara.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan mengibaratkan tindakan itu mensabotaj ekonomi negara.
“Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab tidak sepatutnya berkongsi atau menyebarkan maklumat mengelirukan atau propaganda seperti itu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau mengulas mengenai beberapa mesej berkaitan ekonomi negara yang tersebar luas menerusi aplikasi Whatsapp sejak kebelakangan ini, dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
Mengulas lanjut, Pengarah Komunikasi Strategik BN mendakwa secara amnya pelan transformasi kerajaan menampakkan hasil memberangsangkan, melihat kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Semua rakyat Malaysia sepatutnya memberi tumpuan terhadap kejayaan sedemikian dalam kita mengharungi ketidaktentuan keadaan global ketika ini,” katanya.
Mengulas mesej yang tersebar itu, Abdul Rahman berkata kebanyakan mesej berkenaan berkisar nisbah hutang semasa negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 53.4% sehingga 30 Jun lalu.
Nisbah itu menunjukkan tanggungan hutang kerajaan berbanding KDNK, jelasnya.
“Sebahagian besar daripada kebimbangan dan dakwaan menyebut, nisbah itu kononnya terlalu hampir dengan had 55% yang ditetapkan Kerajaan BN, dan Malaysia akan menghadapi masalah jika had itu dilangkaui.
“Malah, sesetengah mesej tidak bertanggungjawab yang disebarkan mendakwa Malaysia akan bankrap jika kita melepasi had 55% ini,” katanya.
Menyanggah dakwaan itu, menteri menjelaskan nisbah semasa 53.4% bagi hutang berbanding KDNK masih lagi terkawal walaupun lebih tinggi berbanding tahun 2007 pada kadar 40.1%.
“Kadar ini adalah rendah jika dibandingkan dengan kadar antara tahun 1980 hingga 1985 apabila nisbah hutang berbanding KDNK melonjak daripada 44.0% kepada 103.4% dan kekal di tahap melebihi 55% sehingga tahun 1994.
“Jika kita tidak muflis ketika kadar 103.4% pada tahun 1985, bagaimana mungkin kita boleh menjadi bankrap pada kadar 55%?” jawabnya.
- FMT

No comments: