Thursday 8 September 2016

Zika: Pelancong asing batal tempahan ke Singapura, Malaysia

malaysia_zika_pelancong1
PETALING JAYA: Pelancong dari China, Hong Kong dan Taiwan mula membatalkan tempahan ke Malaysia, susulan jangkitan virus Zika yang berlaku di Malaysia serta Singapura.
Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Jackson Thian yang dipetik China Press menganggarkan jumlah pelancong asing yang berkunjung ke Malaysia akan berkurangan 30% sehingga akhir tahun ini.
Beliau berkata, kebiasaannya pelancong dari China, Hong Kong dan Taiwan akan melawat Singapura terlebih dahulu sebelum datang ke Malaysia, tetapi apabila mengetahui jangkitan virus Zika sudah merebak dari Singapura ke negara ini, mereka mula membatalkan tempahan.
“Pelancong asing tidak memahami penyakit yang disebarkan nyamuk. Apabila dengar pasal virus Zika, mereka bertambah sensitif.
“Virus Zika baru bermula, dipercayai akan ada satu tempoh peralihan dan dianggarkan sehingga akhir tahun ini, pelancong asing yang datang ke Malaysia akan berkurangan 30%,” katanya kepada akhbar berbahasa Cina itu.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, seorang wanita berusia 27 tahun dari Taman Desa Harmoni, Johor Bahru menjadi pesakit Zika pertama yang mengandung di negara ini.
Menurut Dr Subramaniam, hasil siasatan pihaknya mendapati, kali terakhir wanita yang mengandung tiga atau empat bulan itu melawat Singapura adalah enam bulan lalu, tetapi suaminya berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Geylang.
Kementerian Kesihatan masih menunggu keputusan ujian untuk mengetahui sama ada suami wanita itu turut dijangkiti Zika dan jika wanita itu mendapat virus berkenaan disebabkan gigitan nyamuk atau melalui hubungan kelamin.
Khamis minggu lalu, Malaysia merekodkan kes pertama Zika apabila seorang wanita berusia 58 tahun dari Klang disahkan positif virus itu selepas balik dari Singapura pada 21 Ogos lalu.
Ia disusuli kes kedua yang meragut nyawa seorang lelaki dari Taman Public Jaya di Likas, Sabah akibat komplikasi jantung pada Sabtu lalu.
Lelaki berusia 61 tahun itu adalah mangsa pertama jangkitan tempatan virus Zika.
- FMT

No comments: