Thursday 8 September 2016

Politik Perkauman, Agama Sudah Tidak Berkesan, Kata MCA Kepada Umno


PETALING JAYA: Umno perlu beralih daripada taktik menakut-nakutkan kaum untuk mengelak daripada berlakunya kerenggangan pengundi tradisional Barisan Nasional (BN), kata MCA.

"Sudah tiba masanya untuk Umno menyemak dan menukar pelan permainan politiknya," kata Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker .

Dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau menggesa Umno untuk menghentikan 'strategi lamanya' dan berkata ia tidak lagi berkesan dalam menyatukan satu undi Melayu yang kini sudah berpecah-belah, dan dibahagikan kepada beberapa parti termasuk PAS, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu.

Lian Ker berkata taktik menakut-nakutkan kaum boleh 'merenggangkan semua atau sebahagian besar pengundi tradisional kita di kalangan orang Cina, India, Kristian dan lain-lain'.

Beliau berkata zaman ketika Umno boleh memilih golongan minoriti untuk memaparkan kekuatannya dan sebagai satu seruan untuk orang Melayu atau umat Islam bersatu telah lama berlalu dan tidak lagi berkesan.

Katanya orang Melayu kini tidak lagi akan 'termakan' dengan seruan itu dan telah melangkah keluar dari penghadang kaum atau agama untuk memerangkap mereka.

Lian Ker berkata jika bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad boleh berbaik semula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini untuk satu perubahan, mengapa tidak Umno.
- mStar

No comments: