Thursday 1 September 2016

PAS, DAP mahu pengesahan MO1=Najib disusuli siasatan, penjelasan Najib

Tuan-Ibrahim_rahman-dalan_najib_600
PETALING JAYA: DAP dan PAS hari ini menggesa Putrajaya tampil memberi penjelasan selepas pengesahan terbuka Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan yang “Malaysian Official 1” (MO1) merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengalu-alukan pengesahan Abdul Rahman, yang juga pengarah strategi Barisan Nasional (BN), dan menambah ia dapat membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usahanya memerangi rasuah.
“Cuma, ramai tertanya-tanya apakah pengakuan ini mendapat persetujuan kabinet dan juga PM sendiri?” kata Tuan Ibrahim.
“MO1” disebut 36 kali oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Julai lalu, dalam dokumen permohonannya mahu merampas aset berkait 1MDB bernilai lebih RM1 bilion susulan dakwaan salah laku dan kecurian dana.
Ia mengundang spekulasi MO1 merujuk kepada perdana menteri, walaupun Najib dan pemimpin Umno sehingga ini rata-rata tidak memberikan komen secara langsung mengenai perkara itu.
Badan penyiaran Britain BBC hari ini memetik Abdul Rahman sebagai berkata identiti MO1 bukan sesuatu yang rahsia.
“Saya sudah nyatakan secara terbuka. Kalau dokumen (DOJ) itu dibaca, ia merujuk kepada perdana menteri,” katanya, yang menambah nama Najib tidak disebut kerana beliau bukan sebahagian daripada siasatan.
“Terdapat orang lain yang dinamakan… dan Jabatan Kehakiman akan membawanya ke mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya dipetik BBC.
DAP: Najib perlu bersihkan nama di PBB
Tuan Ibrahim turut mempersoalkan sama ada pengakuan Abdul Rahman itu bermakna DOJ berasas.
“Jika tiada asas, masakan boleh samakan MO1 itu ialah PM?” tanya beliau.
“Alang-alang Abdul Rahman telah mendedahkan siapa MO1, bolehlah beliau bantu menjawab apakah betul duit 1MDB yang telah masuk ke akaun PM dan apakah cerita bahawa duit di akaun itu daripada dermawan Arab itu dongeng semata-mata?”
Sementera itu, pemimpin DAP Lim Kit Siang mempersoalkan kelewatan Kabinet mendedahkan identiti sebenar MO1, susulan pengakuan Abdul Rahman itu.
Katanya, sikap kerajaan masih tidak tampil membuat pengakuan itu menyebabkan pelajar terpaksa meganjurkan himpunan “#TangkapMO1” di Kuala Lumpur.
Sabtu lalu, lebih 2,000 orang berkumpul bagi memberi tekanan kepada Putrajaya membuka semula siasatan terhadap 1MDB yang dihentikan awal tahun ini.
Lim berkata susulan pengesahan Abdul Rahman itu, Najib perlu membersihkan imej antarabangsa Malaysia sebagai “pusat kleptokrasi dunia” dengan menjelaskan isu 1MDB dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu akhir September nanti.
“Adakah Najib bersedia memikul cabaran terbesar sejak mengambil alih jawatan perdana menteri – membersihkan Malaysia daripada tuduhan menjadi pusat kleptokrasi dalam ucapannya di Sidang Kemuncak PBB?” soal Lim.
- FMT

No comments: