Thursday 8 September 2016

Adenan bosan minta Putrajaya pulih keadaan sekolah

adenan
KUCHING: Tan Sri Adenan Satem mendedahkan bosan meminta Putrajaya pulihkan keadaan sekolah di negerinya, yang sekian lama dalam keadaan daif.

“Mereka bertanya kepada saya, apa yang perlu kita lakukan dengan dasar pendidikan kita?

“Saya beri jawapan mudah: bina sekolah (dengan kualiti kemudahan) yang sama taraf.”

“Saya bosan merayu Kerajaan Persekutuan beri kami sekolah yang lebih baik (berbanding sekarang),” kata Ketua Menteri Sarawak hari ini.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Kamus Iban-English di Kuching. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Douglas Unggah Embas dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Adenan turut akui bosan mendengar masalah sekolah runtuh ke dalam sungai, atau tidak ada bekalan air atau elektrik.

“Saya faham kalau kita ketinggalakan 10, 20 tahun kebelakang. Tapi saya tak boleh terima kalau kemudahan sekolah ketinggalan separuh abad.

“Tak boleh tolak ansur lagi. Kita mesti ada dasar yang lebih tegas menangani perkara ini,” katanya.

Dianggarkan seramai 470,000 pelajar di Sarawak dengan 42,000 guru yang mengajar setakat Januari, menurut Jabatan Pelajaran Negeri. Lebih separuh daripada pelajar daripada kawasan luar bandar.

Pada bulan Jun, sebuah sekolah rendah di sebuah perkampungan nelayan di Spaoh, Betong, runtuh ke dalam sungai, bersama-sama dengan tabika dan surau. Tiada yang cedera dalam kejadian itu.

Pihak berkuasa tempatan menyalahkan hakisan air dan keadaan struktur yang uzur punca Sekolah Kebangsaan Kampung Buda runtuh.

Menurut undang-undang, kerajaan Persekutuan menyelia pembiayaan dan operasi sekolah kebangsaaan termasuk gaji pengajar, bangunan sekolah dan aset.

Di seluruh negara, tiga suku daripada lebih tiga juta pelajar sekolah rendah terdaftar di lebih 7,500 sekolah kebangsaaan, menurut Kementerian Pelajaran.

Adenan menerima kepelbagaian dalam sistem pendidikan Sarawak, sambil menambah beliau mahu lebih ramai guru asal Sarawak diambil bekerja.

“Saya sedang cuba untuk menukar beberapa aspek dasar pendidikan di Sarawak. Kita tak boleh hanya mengikut apa yang ditentukan kepada kita, di Kuala Lumpur.

“Keseragaman tidak bermakna perpaduan.

“Kepelbagaian juga satu bentuk perpaduan kerana kami menghargai cara masing-masing.

“Jadi saya berharap, sebahagian besar guru-guru yang mengajar di sekolah kami adalah anak watan,” katanya.

Sementara itu, Adenan berkata bahasa Iban mengandungi banyak perkataan bahasa Melayu tetapi diserlahkan dengan sebutan yang berbeza.

Beliau juga berharap bahasa Iban tidak pupus seperti banyak bahasa asli.


- FMT

No comments: