Wednesday 7 September 2016

NSTP kena bayar ganti rugi RM200,000 kerana menfitnah

Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dan bekas wartawannya supaya masing-masing membayar ganti rugi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng
dan timbalan ketua menteri II Dr P. Ramasamy sebanyak RM200,000 kerana memfitnah.
Tiga panel hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Lim Yee Lan sebulat suara membenarkan rayuan yang dibawa Guan Eng dan Dr Ramasamy untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.
Mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi George Town pada November tahun lepas yang menolak saman fitnah yang difailkan mereka terhadap akhbar berbahasa Inggeris itu dan Predeep Nambiar berhubung satu artikel bertajuk "Indian-interest group claims thugs interrupted meeting" yang diterbitkan dalam laman webnya pada 4 Dis, 2013.
Hakim Lim berkata penghakiman telah dibuat terhadap NSTP dan Predeep berikutan perkataan yang digunakan dalam artikel itu telah mendedahkan Guan Eng dan Dr Ramasamy kepada cemuhan, kebencian atau penghinaan.
Beliau berkata artikel itu telah dibaca ramai orang dan oleh itu elemen penerbitan artikel itu telah terbukti.
Katanya dengan mengambil kira fakta dan hal keadaan kes itu, tidak ada keperluan menyegerakan penerbitan artikel itu dan ia adalah satu keperluan bagi akhbar itu untuk mendapatkan maklum balas dan pengesahan daripada Guan Eng dan Dr Ramasamy berhubung dakwaan ke atas mereka sebelum artikel itu diterbitkan.
Hakim Lim berkata mahkamah mendapati artikel itu bukan satu hasil daripada kewartawanan yang bertanggungjawab untuk responden layak mendapat pembelaan perlindungan bersyarat.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi tidak boleh dikekalkan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Panel itu yang juga termasuk Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal memberi award RM50,000 sebagai kos perundangan kepada Guan Eng dan Dr Ramasamy.
Mahkamah juga mengarahkan supaya kos perundangan RM100,000 yang dibayar oleh Guan Eng dan Dr Ramasamy bagi prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi, dibayar balik kepada mereka dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.
Dalam pernyataan tuntutannya, Guan Eng dan Dr Ramasamy mendakwa NSTP dan Predeep telah dengan sengaja, secara tidak betul dan berniat jahat menyebabkan artikel itu untuk ditulis, dicetak dan disiarkan di laman web akhbar itu.
NSTP dan Predeep menafikan memfitnah Guan Eng dan Ramasamy, dengan menyatakan mereka hanya melaporkan apa yang dikatakan dalam satu sidang akhbar yang diadakan oleh penasihat kebangsaan Hindraf N. Ganesan.
Kedua-dua responden mendakwa bahawa Guan Eng tidak memberi respons apabila Predeep cuba menghubungi beliau pada 4 Dis 2013 untuk ulasan melalui panggilan telefon dan SMS.
NSTP dan Predeep diwakili peguam Leong Wai Hong manakala peguam Datuk N. Mureli mewakili Lim dan Dr Ramasamy.
- Bernama

No comments: