Monday 5 September 2016

Anwar hargai Dr Mahathir ‘baik hati’ hadir ucap selamat - Video

mahathir anwar
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai kehadiran bekas bosnya Tun Dr Mahathir Mohamad di Mahkamah Tinggi hari ini bagi memberikan sokongan dalam permohonan mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
“Saya ucap terima kasih kesudian Tun Mahathir datang, memberi sokongan kepada usaha kita.
“Saya terharu dengan sikap dia. Kita bincang masalah MKN, dan hal-hal lain juga. Beliau berbaik hati hadir,” kata Anwar ketika dibawa warden Penjara Sungai Buloh keluar daripada perkarangan mahkamah.
Ia susulan pertemuan bersejarah beliau dengan Dr Mahathir di mahkamah, di mana kedua-dua mereka dilihat beramah mesra dan bersalaman.
Bekas perdana menteri yang berkhidmat 23 tahun sebelum itu membuat kejutan apabila menampilkan diri di Mahkamah Tinggi, kira-kira 20 minit sebelum ketibaan Anwar dari Penjara Sungai Buloh bagi meneruskan samannya menghalang penguatkuasaan Akta MKN.
Turut hadir di mahkamah hari ini ialah isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, ahli Parlimen PKR Tian Chua, Zuraida Kamaruddin dan Datuk Kamarudin Jaffar, di samping bekas naib ketua cawangan Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah.
Ketika ditanya sama ada pertemuan itu menamatkan persengketaan mereka selama 18 tahun, Dr Mahathir menjawab:
“Saya berminat dengan kes ini kerana ia membabitkan keselamatan negara dan sudah diulas di blog saya,” katanya menjawab soalan bertalu-talu dari wartawan.
“Kisah lama tidak dibincang,” katanya ketika ditanya sama ada pertemuan dengan bekas timbalannya bermakna kedua-dua mereka sudah bermaafan dan “berkawan semula”.
Dr Mahathir bagaimanapun berkata tidak timbul isu mereka berdamai.
“Saya tidak tahu tentang berkawan (semula) tetapi saya ada bercakap dengannya.”
Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR mengelak soalan sama ada beliau kini memberikan kepercayaan kepada Dr Mahathir.
“Beliau hadir memberikan kata-kata semangat, kita bertolak dari situ,” katanya ringkas.
Ia merupakan pertemuan pertama kedua-dua pemimpin yang pernah memimpin kerajaan Barisan Nasional pada era 1990-an sejak peristiwa pemecatan Anwar pada 1998.
Hari ini genap 18 tahun dan 3 hari Anwar dipecat Dr Mahathir, selepas dituduh menyalah guna kuasa dan salah laku seks. Pemecatan beliau mencetuskan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur menuntut peletakan jawatan Dr Mahathir.
Anwar kemudian ditangkap di bawah Akta Keselamatan Negara pada 20 September, sebelum dibicarakan dan dipenjarakan 6 tahun atas kesalahan salah guna kuasa.
Anwar, 68, yang kini menjalani hukuman penjara kedua selama 5 tahun, mendakwa Akta MKN 2016 tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menuntut deklarasi Akta MKN tidak berperlembagaan dan terbatal serta perintah injunksi menghalang penguatkuasaan MKN.
Akta MKN yang berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu antara lain memberikan kuasa kepada perdana menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” di mana beliau boleh membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.
Akta itu diluluskan tanpa mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong, walaupun istana pernah mencadangkan beberapa perubahan.
- FMT

No comments: