Tuesday, 6 September 2016

Pertemuan Tun M-Anwar Mungkin Akibatkan Ahli PKR Keluar Parti - Nur Jazlan

PUTRAJAYA: Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, 'pertemuan bersejarah' antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menjejaskan sokongan ahli PKR dan mungkin membawa kepada tindakan mereka untuk keluar parti.

Menteri Dalam Negeri itu turut menolak tanggapan bahawa 'perdamaian' yang berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin boleh memperkuatkan sokongan untuk pembangkang.

"Akhirnya, Dr Mahathir bertemu Anwar di mahkamah untuk sokong PKR. Beliau lupa 20 tahun lalu ramai meninggalkan Umno kerana PKR di atas apa yang beliau lakukan terhadap Anwar.

"Pertemuan ini akan menjejaskan sokongan ahli PKR. Ia sebenarnya membantu Barisan Nasional dan Umno pada pilihan raya umum akan datang.

"Ia juga akan menimbulkan rasa tidak senang mereka yang boleh mengakibatkan mereka untuk meninggalkan PKR," kata Nur Jazlan pada sidang media di sini, Selasa.

Tambah Nur Jazlan, pengaruh Dr Mahathir berkurangan dan ramai belia hari ini tidak biasa dengan legasi bekas perdana menteri itu.

"Mereka (Pembangkang) telah berpecah dengan teruk. Tetapi mereka sedang mencari seseorang yang boleh menjadi 'unfier' kepada mereka... mereka nak cari Dr Mahathir," katanya. 
 
- mStar
Post a Comment