Friday 2 September 2016

Rahman Dahlan jahil, Najib tidak dinamakan DoJ kerana tiada hartanah di AS

Charles-Santiago_rahman-dahlan_600
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang membidaskan Datuk Abdul Rahman Dahlan jahil berdasarkan kenyataannya Datuk Seri Najib Razak bukan sebahagian daripada siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
Charles Santiago berkata, Najib tidak dinamakan dalam saman sivil DoJ kerana perdana menteri tidak mempunyai hartanah di Amerika Syarikat yang dibeli menggunakan wang diseleweng daripada dana 1MDB.
“Sesetengah dakwaan ke atas MO1 boleh didapati dalam laporan Wall Street Journal tahun lalu berhubung dana AS$681 juta disalurkan ke akaun bank peribadi Najib.
“Menurut tuntutan saman itu, wang daripada jualan bon 1MDB pada 2013 dipindahkan ke akaun MO1, ini jelas membabitkannya (Najib),” kata wakil rakyat DAP itu kepada FMT hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sekali lagi menamakan Najib sebagai “Malaysian Official 1” (MO1) yang dirujuk DoJ dalam dokumen permohonannya merampas aset 1MDB Julai lalu.
Badan penyiaran Britain BBC memetik pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional itu sebagai berkata, perkara itu tidak perlu diragukan lagi.
Sementara itu, peguam hak asasi manusia, Andrew Khoo Chin Hock menyifatkan kenyataan Rahman itu tidak matang, memandangkan sehingga kini DoJ belum memaklumkan langkah seterusnya dalam kes saman sivil merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana diseleweng daripada 1MDB.
Beliau berkata, pihaknya sendiri masih kabur mengenai status siasatan itu dan tidak mustahil Najib akan turut dikaitkan dalam kes berkenaan kelak.
“Kenyataan Rahman itu tidak tepat kerana dalam pengetahuan kami, kami tidak tahu adakah penyiasatan itu sudah habis atau lengkap atau ini hanya permulaan.
“Dalam mana-mana keadaan, kita tidak boleh katakan itu sahaja yang mereka (DoJ) lakukan dan tidak akan berbuat apa-apa lagi. Kita tidak tahu apa yang mereka lakukan untuk membekukan aset itu, mungkin itu hanya tahap pertama penyiasatan mereka,” katanya.
Pada 20 Julai, DoJ memfailkan saman untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB.
Dokumen 130 muka surat hasil siasatan itu turut menamakan beberapa individu, termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz yang didakwa menggunakan dana 1MDB bagi menghasilkan filem Hollywood “The Wolf of Wall Street”.
Dokumen tersebut bagaimanapun tidak menamakan Najib, tetapi ‘Malaysian Official 1’ (MO1) yang sering dikaitkan dengan Najib dan disangkal pemimpin Umno, disebut sebanyak 36 kali.
- FMT

No comments: