Friday 2 September 2016

Mahathir sudah tua, tidak perlu diheret bertanding di Putrajaya

Datuk Khairuddin Samad
PETALING JAYA: Pembangkang dinasihatkan tidak mengheret Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang kerana bekas perdana menteri itu sudah tua.
Pandangan itu disuarakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Senator Datuk Khairuddin Samad sebagai menghormati Dr Mahathir sebagai negarawan yang banyak berjasa kepada negara.
“Kalau pemimpin lain nak lawan BN tidak ada masalah, tetapi jangan heret Tun Mahathir. Kita bukan takut nak lawan Tun, tetapi kita menghormati beliau. Sebagai negarawan, kita menghormati beliau membuka Putrajaya, orang yang banyak membangunkan Putrajaya.
“Dia sudah berumur saya menghormati dia seperti bapa sendiri, tidak perlu nak heret dia ke kancah politik lagi, jangan kacau dia. Umur Tun Mahathir pun sudah 90 tahun, pada saya carilah pemimpin lain kalau nak disuruh bertanding, tak perlu ganggu orang tua itu…kesian dia.
“Malah, dalam Bersatu (parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun dia hanya penasihat sahaja, bererti dia bukan begitu agresif nak lawan (BN), dia cuma duduk sebagai penasihat,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau mengulas cadangan Amanah Putrajaya mengesyorkan Dr Mahathir bertanding di kerusi Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Adalah diakui umum Tun Mahathir adalah ‘Master Planner’ dan ‘Architect’ yang berjaya membangunkan Putrajaya menjadi salah satu mercu tanda kejayaan pembangunan Malaysia,” kata Pengarah Komunikasi Amanah Putrajaya, Mohd Radzi Abu Bakar semalam.
Khairuddin sebaliknya mencabar pembangkang meletakkan calon lain, sekaligus yakin BN mampu mengekalkan kerusi yang dimenanginya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada PRU13 lalu.
“Saya rasa Putrajaya tidak ada masalah kepada BN, sebab wakil rakyat yang ada sekarang itu banyak berjasa kepada penduduk, Tengku Adnan banyak bantu rakyat, jadi tidak ada masalah,” katanya.
- FMT

No comments: