Friday 2 September 2016

Tiada siasatan baru susulan pengakuan Najib adalah MO1, kata KPN

KUALA LUMPUR: Polis tidak perlu memulakan siasatan baru susulan pengakuan Datuk Abdul Rahman Dahlan berhubung identiti ‘Malaysian Official 1’ (MO1) kerana siasatan sedia ada sedang berjalan, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Ketua Polis Negara berkata demikian ketika ditanya adakah polis akan memulakan siasatan baru berdasarkan pengesahan identiti Malaysian Official 1 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan, semalam.
Jelasnya Pejabat Peguam Negara baru memulangkan kertas siasatan polis keatas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan polis akan menjalankan siasatan seperti yang diarah Tan Sri Apandi Ali.
“Jangan heret polis dalam politik,” kata Khalid memintas desakan ahli politik. “Tidak perlu sibuk suruh polis siasat itu dan ini.”
“Saya sudah jelaskan polis memang ada menjalankan siasatan terhadap 1MDB dan akan terus fokus dengan apa yang kita buat,” tegas Khalid dalam sidang media seusai Majlis Penghargaan Petugas Aseanapol di Bukit Aman hari ini.
Khalid 19 Ogos lalu memaklumkan siasatan fasa pertama terhadap 1MDB merangkumi penelitian dokumen dan merakam keterangan individu yang terlibat di dalam negara sudah selesai, dan perbincangan polis dan Jabatan Peguam Negara mengenainya sedang berjalan.
Fasa kedua siasatan merangkumi perolehan dokumen dan merakam percakapan saksi di luar negara akan bermula sebaik arahan diterima, lapor media.
“Ada beberapa perkara yang diarahkan Peguam Negara untuk kita laksanakan,” jelasnya, dan menambah, “Apa sahaja tindakan DoJ adalah (bersifat) sivil dan biarlah mereka (Washington D.C) yang selesaikan.”
Dalam isu berkaitan, Ketua Polis Negara berkata aktivis Mohd Ali Baharom (Ali Tinju) disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas dakwaan sengaja mengaibkan atas niat mengganggu ketenteraman.
Ali dalam satu rakaman video di IPD Dang Wangi Isnin lepas dipaparkan menggesa polis “jangan makan tidur, makan tidur” dan segera menahan penganjur himpunan #TangkapMO1.
“Kalau polis tidur, negara tidak akan dapat keamanan seperti sekarang ini,” bidas Khalid. “Nak tangkap atau tidak adalah tugas polis. Dia duduk diam-diam.”
Ditemui di Bukit Aman selepas memberi keterangan kepada polis, Ali Tinju berkata polis terkeliru kerana kenyataannya diputar belit media.
“Jika dengar secara keseluruhan, polis akan tahu saya hanya meminta mereka berlaku adil. Kalau kami buat himpunan kena tangkap, mereka juga perlu ditangkap,” katanya.
Ali Tinju berkata tidak akan mengendahkan kenyataan Khalid agar jangan campuri urusan polis, kerana sebagai rakyat dia berhak mengkritik.
- FMT

No comments: