Friday 2 September 2016

Pendaftaran Bersatu dijangka lulus minggu depan

bersatu
PETALING JAYA: Pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang bakal dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka diluluskan secara rasmi pada 9 September, selepas jawatankuasa penaja memenuhi segala syarat yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Wakil RoS sangat berpuashati dan kagum dengan usaha dan tindakan yang telah kita lakukan dalam melaksanakan perubahan yang perlu terhadap segala teguran dan cadangan yang dibuat oleh pihaknya,” kata setiausaha penaja Bersatu, Kamarulazman Habibur Rahman, hari ini.

“Kita mengharapkan tiada lagi sebarang halangan bagi kelulusan penubuhan Bersatu selaras dengan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri bahawa permohonan ini akan diluluskan tanpa sebarang masalah.”

Bersatu yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa bekas pemimpin kanan Umno lain, membuat permohonan didaftarkan sebagai parti politik pada 9 Ogos lalu.

Keahlian parti itu terbuka kepada rakyat Malaysia yang berstatus Bumiputera sahaja, mengundang kritikan sesetengah penyokong pembangkang mengenai arah tujunya yang berdasarkan perkauman seperti parti komponen Barisan Nasional.

Sebelum ini, Dr Mahathir menjelaskan Bersatu memilih menjadi parti pribumi supaya dapat bersaing dengan Umno yang selama ini disifatkan parti keramat Melayu.

“Orang bandar yang canggih dan berpendidikan tinggi percaya politik perkauman tidak sesuai untuk masa ini. Tetapi di kawasan lain ia adalah berbeza,” katanya.

- FMT

No comments: