Friday, 2 September 2016

Rakyat Malaysia berhijrah petik buah di Australia

Bahasa,-ladang,-Mildura,-Melbourne,-sara-hidup,-Australia,-rakyat-Malaysia
KUALA LUMPUR: Bayaran gaji RM1,900 seminggu satu-satunya motivasi kepada wanita muda, Maslina Masud terus bekerja di ladang memetik buah walaupun ia bukan pilihanya.

Maslina, 30, salah seorang daripada beribu-ribu rakyat Malaysia yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke luar negara dan mendirikan kehidupan baharu.

Wanita yang memilih Australia dan menjejakkan kaki di Melbourne pada Januari 2014 tidak menyangka terpaksa menerima hakikat untuk bekerja di sebuah ladang buah-buahan.

Dari bilik hawa dingin ke semak ladang

Terbentang luas kira-kira seribu ekar, ladang Mildura yang terletak 7 jam perjalanan dari bandar Melbourne, inilah satu-satunya pilihan buat Maslina sementara menerima jawapan bagi semua permohonan kerjanya di bandar.

Dia akur dengan nasib diri selepas suaminya pula terpaksa menyambung pengajian ekoran pasangan ini menggunakan visa pelajar untuk ke negara itu.

Namun, pendapatan yang dijanjikan untuk memetik pelbagai jenis buah, oren, anggur, strawberi dan kiwi iaitu kira-kira AUD$15 hingga AUD$20 sejam memberi dia keyakinan sekurang-kurangnya untuk menyara hidup.

Hidup selesa dan mengusakan sebuah agensi pelancongannya sendiri di ibu kota, anak kelahiran Kuala Lumpur ini akui terkejut apabila mendapati kebanyakan pekerja di ladang Mildura itu adalah rakyat Malaysia.

“Ramai golongan profesional seperti jurutera, pegawai bank malah peguam meninggalkan Malaysia untuk mencuba pengalaman baru ini.

“Ladang Mildura adalah pusat buah-buahan untuk dieksport dan hampir kebanyakan orang yang saya temui adalah rakyat Malaysia. Selain pengalaman memetik buah, saya akhirnya dapat melepaskan rindu kampung bertemu mereka,” kata Maslina.

“Berbeza dengan kehidupan di Malaysia di mana saya bekerja di pejabat, dalam bilik berpenghawa dingin, duduk di kerusi empuk dan memiliki pembantu untuk menyiapkan segalanya, di sini, saya terpaksa kerja di bawah matahari, dalam semak, di lapangan terbuka. Tiada apa yang ‘mewah’ kecuali ketenangan dan kecantikan alam semula jadi serta buah-buahan ini.

“Tetapi lebih penting, di sini saya belajar erti kesusahan. Ia satu pengalaman luar biasa dan perasaan ketika memetik buah-buahan amat berbeza. Keberadaan rakan Malaysia juga menghiburkan apabila kami kadang-kala menyanyikan lagu ‘rock kapak’ beramai-ramai untuk menghilangkan rasa rindu ,” katanya sambil tersenyum.

Belum berhasrat balik Malaysia

Ditanya penerimaan keluarga dan berapa lama dia bercadang untuk berada di kota kangaroo, Maslina berkata, keluarganya tidak menyangka keputusannya itu serius.

Jelasnya mereka anggap Maslina dan suami hanya bergurau sehinggalah melihat tindakan sebenar mereka.

“Malah, buat masa ini, saya dan suami juga tidak berhasrat untuk kembali ke Malaysia.

“Bukan saya tidak patriotik atau tidak bangga menjadi anak Malaysia, namun faktor ketegangan politik di negara ini punca ramai belia ambil keputusan berhijrah. Kami mahu membina hidup baharu di sini,” katanya.

Walaupun syukur dapat bekerja di ladang, lebih-lebih lagi dengan gaji lumayan berbanding di Malaysia, Maslina tidak pernah berhenti berdoa dan meletakkan harapan agar mendapat panggilan temuduga dari bandar.

“Benar, rezeki Allah itu luas. Saya tidak pernah berhenti berdoa agar mendapat kerja di bandar kerana kami terpaksa berulang-alik demi suami yang perlu menghadiri kuliah setiap Ahad memadangkan kami berhijrah menggunakan visa pelajar.

Akhirnya, doa Maslina terjawab apabila dia menerima panggilan temuduga dari sebuah kolej swasta di Melbourne.

Gaji RM2,500 seminggu

“Genap 3 bulan bekerja di Mildura, saya menerima panggilan temuduga dari sebuah kolej swasta di Melbourne. Memang senyum saya tidak berhenti sepanjang berada di dalam bas ketika menuju ke bandar,” katanya berkongsi pengalamannya itu.

Sebaik diterima bekerja, Maslina menganggap percaturannya membuat keputusan berhijrah akhirnya membuahkan hasil, ditambah pula dengan gajinya yang lebih lumayan iaitu kira-kira RM2,500 seminggu.

“Apapun, saya tetap merindui beberapa teman rapat Malaysia di ladang. Syukur kepada Allah mempermudahkan segalanya walaupun pada mulanya agak sukar bagi saya dan suami mendapat kerja.

“Kini saya berkhidmat sebagai eksekutif pemasaran di Kolej PAX, Melbourne dan setiap kali saya ternampak buah kiwi atau oren, saya pasti tersenyum sendiri,” katanya.

Dia yang akui seronok membina kerjaya di Australia berkata kota Melbourne sebagai bandar pilihan yang berbaloi untuk meneruskan hidup.

“Masyarakat di sini baik. Kos hidup tinggi tetapi dengan gaji yang diterima, semuanya boleh diusahakan. Kadar jenayah juga kurang. Kalau rindu makanan Malaysia, di sini juga ada restoran yang menjual hidangan Malaysia. Jadi tiada masalah bagi kami,” katanya yang sudah setahun lebih berada di Melbourne.

Maslina menasihatkan anak muda yang mengambil keputusan berhijrah ke luar negara supaya tidak takut berdepan cabaran dan terus berusaha.

- FMT
Post a Comment