Friday 2 September 2016

Pesakit Pertama Dijangkiti Virus Zika Beransur Pulih

PETALING JAYA: Pesakit pertama dijangkiti virus Zika di negara ini semakin beransur pulih di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit) HSB, Datuk Dr Christopher Lee berkata simptom jangkitan tersebut yang dialami wanita berusia 58 tahun itu termasuk ruam sudah hilang.

"Kami akan melakukan ujian darah ke atasnya hari ini dan sekiranya keputusan itu negatif, dia akan dibenarkan pulang dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya pada Khamis.

Dr Lee berkata ruam ringan yang dialaminya sudah hilang dalam masa dua atau tiga hari dan ujian darah terakhir didapati negatif.

Namun, hospital membuat keputusan untuk menahannya lebih lama bagi memastikan tiada jangkitan terhadap orang lain.

Katanya, ujian darah pada hari ini akan disahkan semula untuk memastikan dia bebas daripada virus Zika.

Wanita itu bersama suaminya melawat anak perempuannya di Singapura pada 19 Ogos lalu dan pulang ke tanah air pada 21 Ogos.

Seminggu kemudian, wanita itu mengalami ruam dan demam serta mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Klang.

Dia kemudiannya dirujuk ke HSB dan pada 31 Ogos lalu, sampel air kencingnya didapati positif virus Zika.

Anak perempuannya yang bekerja dan tinggal di Paya Lebar, Singapura turut dijangkiti virus itu.

Suami dan beberapa ahli keluarga lain wanita itu yang tinggal bersama di kediaman mereka di Ambang Botani masih belum menunjukkan sebarang tanda jangkitan.

Dr Lee berkata tanda-tanda jangkitan Zika adalah demam, sakit badan, ruam dan mata kemerah-merahan yang akan hilang dalam tempoh beberapa hari.

Katanya, jika seorang wanita yang dijangkiti virus Zika, cecair pada farajnya mungkin mengandungi virus itu sehingga dua bulan selepas dia pulih.

"Jadi, jika dia melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki dalam tempoh dua bulan, lelaki itu boleh dijangkiti virus Zika.

"Virus itu juga boleh kekal dalam sperma lelaki sehingga enam bulan selepas pesakit pulih," katanya.
- mStar

No comments: