Friday 2 September 2016

Sultan Selangor Selamat Diijabkabul Dengan Personaliti Televisyen

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Norashikin Abdul Rahman yang juga personaliti televisyen di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada Rabu lalu.

Setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pernikahan baginda disempurnakan oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam satu majlis secara sederhana dan ringkas.

Majlis Pernikahan turut dihadiri oleh Timbalan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir; bekas timbalan mufti negeri, Mohd Rasid Mahful dan ahli majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bapa dan ahli keluarga pengantin perempuan.

Norashikin, 45, bekas pramugari Malaysia Airlines telah berkahwin dengan Mustapha Kamal Halim, seorang juruterbang Etihad Airlines.

Mereka dikurniakan dua anak, Nur Amanda, 17 dan Adam Salleh, 14.

Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan Sultan Selangor kesembilan yang memerintah negeri Selangor sejak 22 November 2001 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

Pada tahun 1968, baginda berkahwin dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal dan dikurniakan dua puteri, Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah.

Setelah berpisah pada 1986, baginda berkahwin dengan seorang warga Amerika Syarikat, Nur Lisa Idris Abdullah pada tahun 1988 (berpisah pada 1997) dan mempunyai seorang putera, Tengku Amir Shah hasil perkahwinan tersebut.
- mStar

No comments: