Friday 2 September 2016

DoJ baling batu sembunyi tangan, kata timbalan menteri

tajuddin
PETALING JAYA: Selepas kenyataan Datuk Abdul Rahman Dahlan menamakan Datuk Seri Najib Razak sebagai orang di sebalik “Malaysian Official One” (MO1), seorang pemimpin Umno menggesa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhenti berselindung di sebalik rujukan yang disebut dalam dokumennya berkenaan salah laku 1MDB.

“Cukuplah dengan permainan ini. Apabila tidak menyebut nama MO1, ia menyebabkan pelbagai spekulasi,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Menurutnya, tindakan DoJ yang mengulangi “MO1” dalam dokumen permohonannya untuk menyita aset berkait 1MDB menyebabkan Malaysia menerima kesan buruk ekonomi dan politik.

“Apa yang dilakukan jabatan itu sekarang seolah-olah baling batu sembunyi tangan.

“Ia tidak profesional dan tidak bertanggungjawab,” kata Tajuddin, yang juga tmbalan menteri pertanian dan industri, kepada FMT, dan menambah ia mungkin bagi mencetuskan provokasi dan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia.

Semalam, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata MO1 merujuk kepada Najib.

“Saya sudah nyatakan secara terbuka. Kalau dokumen (DOJ) itu dibaca, ia merujuk kepada perdana menteri,” katanya dalam wawancara bersama badan penyiaran Britain, BBC.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bagaimanapun berkata nama Najib tidak disebut kerana beliau bukan sebahagian daripada siasatan.

“Terdapat orang lain yang dinamakan… dan Jabatan Kehakiman akan membawanya ke mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.

Pada 20 Julai, DoJ memfailkan saman untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Dokumen DoJ setebal 130 muka surat itu menamakan beberapa individu, termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz, yang didakwa menggunakan berjuta dolar daripada 1MDB bagi pengeluaran filem Hollywood “The Wolf of Wall Street”.

Dokumen tersebut bagaimanapun tidak menamakan Najib, tetapi menyebut “MO1” sebanyak 36 kali, yang sering dikaitkan dengan Najib, walaupun disangkal beberapa pemimpin Umno.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad mencetuskan kemarahan selepas mendakwa MO1 atau “pegawai Malaysia pertama” yang disebut pihak berkuasa AS itu merujuk kepada Yang Di-Pertuan Agong. Beliau kemudian membuat permohonan maaf atas kenyataannya.

Pada 27 Ogos, lebih 2,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar berkumpul di Kuala Lumpur menuntut kerajaan menamakan identiti MO1 dan mengambil tindakan.

Tajuddin percaya Abdul Rahman mempunyai alasan dalam mendakwa Najib adalah orang yang dimaksudkan sebagai MO1.

“Beliau perlu berfikir sama ada apa yang dilakukan itu betul atau salah, kerana beliau bukan calang-calang orang, tetapi seorang menteri, pemimpin,” tambah Tajuddin.


- FMT

No comments: