Wednesday 14 September 2016

Pakar ekonomi saran BN lanjutkan tempoh PRU14

kamal-salleh_bn_600
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) berkemungkinan melanjutkan tempoh pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memberi peluang kepada Kerajaan Persekutuan memperbaiki keadaan ekonomi dan politik semasa negara.

Pakar ekonomi, Tan Sri Dr Kamal Salleh berkata, kedudukan nisbah hutang kerajaan yang mencecah 55% mempengaruhi pemikiran umum serta pengundi dengan tanggapan kewangan kerajaan berada di tahap merungsingkan.

“Kalau kita nak pertahankan pertumbuhan ekonomi, maka kita sudah tiada upaya dari segi fiskal. Sebab itu menimbulkan persepsi kita sudah memasuki era krisis.

“Kerajaan tidak boleh lagi mengaburkan mata rakyat segalanya baik, kerana suri rumah pun sudah merasa beban hutang semakin besar, ekonomi semakin lembab dan kerana itu kerajaan kena berjimat,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Bloomberg memetik beberapa sumber rapat dalam Umno menyatakan PRU14 akan diadakan lebih awal daripada 2018 selain Parlimen mungkin dibubarkan seawal Mac.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan laporan Bloomberg hanya spekulasi dan kajian dibuat berdasarkan ‘structured sampling’.

Kamal menambah, kerajaan harus berjaga-jaga apabila nisbah hutang melebihi 55%, kerana dalam keadaan sedemikian berlaku kerajaan harus merujuk semula kepada Parlimen untuk meluluskan sesuatu bajet.

“Kalau kita tidak berjaga-jaga, negara akan hadapi krisis walaupun belum hadapi tahap itu.

“Ada tanda-tanda di masa hadapan, jika kita gagal mengawal perbelanjaan maka kerajaan akan hadapi krisis dan perkara ini akan menjadi isu dalam PRU,” katanya.

Sebelum ini, Sholto Byrnes dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa menegur langkah mengadakan PRU ketika harga minyak dan bahan mentah lain pada paras rendah di samping nilai ringgit yang turun naik sebagai satu tindakan yang amat berisiko.

“Sebaiknya, adakan pilihan raya apabila rakyat berasa lebih selesa dari segi kewangan,” katanya.

PRU terakhir diadakan ketika hampir tamat mandat Barisan Nasional (BN) pada Mei 2013. Ia menyaksikan BN memenangi 133 kerusi dan Pakatan Rakyat 89.

No comments: