Wednesday 7 September 2016

Replika helang: Bincang dulu sebelum cadang roboh, kata Rais Yatim

rais-yatim
KUANTAN: Perbincangan lebih mendalam dengan mengambil kira nilai estetika Islam perlu dilakukan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan dan keputusan untuk merobohkan replika burung helang di Dataran Lang, Langkawi, Kedah.
Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata ini berikutan replika burung itu sebelum ini menjadi simbol keindahan tarikan pelancongan di Kedah dan bukannya disembah mana-mana pihak.
“Keindahan yang dilihat menerusi kaca mata Islam itu tetap ada, bukan tidak ada. Kita harus mengambil iktibar daripada nas bahawa Allah itu menyukai benda-benda yang cantik dan indah, jadi hal itu (cadangan meroboh replika helang) perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Perubatan Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(IMSC) di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi IMSC Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.
Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim sebelum ini dipetik sebagai berkata memasang replika helang itu sebagai mercu tanda adalah haram kerana menyerupai bentuk haiwan hidup dan ia wajar dirobohkan.
Rais yang juga Presiden UIAM berkata cadangan merobohkan replika helang itu perlu dibincangkan sebaik mungkin kerana perlu mengambil kira kewujudaan Tugu Negara di Kuala Lumpur dan patung kucing di Kuching, Sarawak, misalnya.
Beliau berkata pihak berkuasa perlu berfikir secara mendalam berhubung cadangan berkenaan demi membina sahsiah budaya dan kemasyarakatan di negara ini.
- Bernama

No comments: