Tuesday, 6 September 2016

Tiada lagi kedaulatan undang-undang di Malaysia, kata Dr Mahathir

NSC mahathir
KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Malaysia tidak lagi mengamalkan kedaulatan undang-undang dan kini menjadi negara tanpa undang-undang.
“Dan kini dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), undang-undang ditangguhkan. Ini termasuk pemansuhan inkues mengenai kematian,” katanya dalam posting terbaru di blognya, chedet.cc hari ini.
Dr Mahathir berkata undang-undang pada asasnya dibuat untuk keselamatan, kehidupan yang baik dan kesejahteraan rakyat.
“Bagi membolehkan undang-undang melakukan semua ini, kerajaan perlu mentadbir sewajarnya. Kerajaan yang dilantik perlu buat dengan baik.
“Apa yang berlaku di Malaysia sekarang ialah kerajaan menyalahgunakan undang-undang. Ia tidak lagi menyediakan persekitaran yang baik,” katanya.
Dr Mahathir turut menyenaraikan salah guna kuasa yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri dan kerajaannya.
Meskipun undang-undang membenarkan rakyat mengkritik, Dr Mahathir menyelar tindakan Najib menghalang ahli partinya, penjawat awam dan media daripada mengkritik kerajaannya.
“Tindakan diambil dengan membuat mereka daripada jawatan, dipindahkan, diturunkan pangkat, mengganggu mereka dan rakan serta memaksa mereka bersara awal,” katanya.
Dalam artikel terbarunya itu, Dr Mahathir mendakwa apabila RM2.6 bilion ditemui dalam akaun bank peribadi Najib, siasatan penuh mengenai sumber wang itu tidak dijalankan oleh polis.
“Tetapi kita dengar peguam negara mendakwa Najib tidak bersalah kerana dia (Najib) kata dia tidak bersalah. Jika ini mencukupi, maka semua orang yang didakwa kerana tindakan jenayah hanya perlu kata mereka tidak bersalah.”
Katanya, suspek yang hanya menafikan dia buat salah tidak akan didakwa di mahkamah.
“Untuk dilepaskan, dia perlu menunjukkan bukti dalam bentuk alibi, saksi, dokumen, cap jari dan sebagainya untuk meyakinkan hakim. Kemudian, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan akan pertimbangkan sama ada dia tidak bersalah atau tidak,” katanya.
Beliau berkata peguam negara bersalah kerana lalai dalam tugas.
“Polis juga bersalah kerana tidak menjalankan siasatan penuh terhadap tuduhan yang dibuat dalam laporan itu.
“Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak diguna pakai untuk jenayah dalam pejabat. Malah, tugas pegawai untuk melaporkan sebarang tindakan jenayah yang dilakukan sesiapa dalam kerajaan,” katanya.
Rahsia rasmi merujuk kepada dokumen kerajaan, Kabinet, kertas cadangan dan perjanjian yang belum diluluskan.
- FMT
Post a Comment